fb fb fb fb fb

Empat rumah terbakar di Ipoh, tiada kemalangan jiwa dilaporkan - JBPM Perak

Gambar Fail

IPOH, 29 Disember- Empat buah rumah sederet musnah dalam satu kebakaran di Jalan Muhammad Rashid, Kampung Kuala Pari Hilir, Menglembu, Ipoh pada petang Ahad (28 Disember).

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 4.00 petang, sebelum tiga pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan ke lokasi.

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, setibanya di tempat kejadian, api didapati sedang marak dan telah merebak hampir 60 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.

Kebakaran melibatkan empat buah rumah sederet jenis kelas A berukuran 20 kali 50 kaki setiap satu.

Dua buah rumah masing-masing musnah hampir keseluruhan dengan anggaran kerosakan 90 peratus manakala dua lagi mengalami kemusnahan antara 30 hingga 50 peratus.

Turut musnah dalam kebakaran itu ialah dua buah motosikal masing-masing dengan anggaran kerosakan 90 peratus.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dalam kejadian tersebut.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM