fb fb fb fb fb

Enam unit rumah pangsa musnah dalam kebakaran di Ipoh

Foto JBPM Perak

IPOH, 29 Disember- Enam unit rumah pangsa di tingkat tiga National Garden Apartment, Jalan Sultan Nazrin Shah, Ipoh musnah hampir keseluruhan dalam satu kebakaran.

Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, setibanya di tempat kejadian, api didapati sedang marak membakar tiga unit rumah pangsa di tingkat tiga sebelum merebak ke tiga unit bersebelahan.

Kebakaran melibatkan enam unit rumah pangsa jenis kelas A berukuran 40 kali 25 kaki setiap satu, dengan anggaran kemusnahan sehingga 90 peratus.

Anggota bomba turut berdepan kesukaran memasuki beberapa unit kediaman berikutan api masih marak, selain terdapat rumah yang dikunci dari dalam dan dipasang grill.

Kerja pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran air melalui laluan tangga, bahagian belakang bangunan serta bantuan jentera skylift.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM