RM15.5 bilion wang negara berjaya dikutip bantu tampung subsidi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto PMO

KOTA TINGGI, 5 April — Sebanyak RM15.5 bilion wang negara berjaya dikutip hasil usaha membanteras penyalahgunaan dana awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil ketirisan diselamatkan membantu kerajaan menampung subsidi kepada rakyat ketika krisis tenaga global.
  • Kejayaan itu hasil kerjasama agensi seperti LHDN dan SPRM dalam usaha membanteras penyalahgunaan dana awam.
  • Tindakan tegas termasuk menjejak, membekukan dan memulihkan dana diseleweng membuktikan keberkesanan penguatkuasaan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil ketirisan wang negara itu itu membantu kerajaan menampung subsidi kepada rakyat ketika dunia berdepan krisis tenaga global.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata tindakan tegas pihak berkuasa dalam menjejak, membekukan dan memulihkan dana yang diseleweng membuktikan keberkesanan langkah penguatkuasaan kerajaan.

“Alhamdulillah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini melalui kerja keras agensi seperti LHDN dan SPRM, kita berjaya selamatkan RM15.5 bilion wang yang hilang di tangan pihak tertentu.

“Sebab itu kita kena guna kuasa politik, kuasa sosial dan tenaga kerja untuk fikir bagaimana membela nasib negara,” katanya ketika berucap pada Program Bersama Peneroka Felda Semenchu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.