
MELAKA, 4 April – Kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dalam masa terdekat susulan krisis tenaga global yang berpotensi memberi kesan kepada harga makanan dan barangan.
- Hasil perbincangan akan menentukan sebarang perubahan subsidi atau bantuan kepada rakyat.
- Bekalan makanan masih mencukupi; stok negara dijangka mencukupi untuk tujuh hingga lapan bulan akan datang.
- Harga makanan mungkin naik jika bekalan baharu datang pada kos lebih tinggi; kerajaan menerapkan kesiapsiagaan dan pemantauan berterusan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hasil perbincangan itu akan menentukan sebarang keperluan perubahan melibatkan subsidi atau bantuan kepada rakyat.
“Perbincangan ini juga melibatkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan sebarang perubahan termasuk subsidi atau bantuan kepada masyarakat akan diumumkan dari semasa ke semasa.
“Ketika ini, bekalan makanan masih mencukupi dan kita tidak berdepan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sentuhan MADANI bersama pemimpin peladang negeri Melaka di Dewan Datuk Demang Hussin, Bukit Katil.
Menurut Datuk Seri Mohamad, Malaysia ketika ini masih mempunyai stok makanan mencukupi bagi tempoh antara tujuh hingga lapan bulan akan datang.
Bagaimanapun, katanya, perubahan harga berkemungkinan berlaku sekiranya bekalan baharu terpaksa dikeluarkan pada kos yang lebih tinggi susulan kenaikan harga input pertanian.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan mengurus situasi berkenaan dalam kerangka kesiapsiagaan krisis dengan pendekatan pemantauan berterusan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.