
KUALA LUMPUR, 5 April – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sedang merangka garis panduan khusus sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bermula pada 15 April ini.
- JPPKK menekankan jaminan operasi dan kelangsungan sistem pengajaran dan pembelajaran melibatkan warga pendidik dan pelajar.
- Sedang mendapatkan garis panduan lebih jelas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam sambil merangka panduan khusus per politeknik dan kolej komuniti.
- Pengalaman pelaksanaan BDR semasa pandemik COVID-19 membantu persediaan, manakala PdP secara hibrid telah mengurangkan perubahan perancangan akademik.
- Institusi diberi autonomi menentukan pelaksanaan hibrid atau dalam talian bagi menjaga kebajikan pelajar dan mengekalkan kualiti pendidikan.
Ketua Pengarah JPPKK, Dr Shamsuri Abdullah berkata penyediaan panduan itu bagi memastikan operasi serta kelangsungan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) melibatkan warga pendidik dan pelajar di institusi itu berjalan lancar.
“Sebenarnya, kita sedang mendapatkan satu garis panduan yang lebih jelas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Namun, di peringkat yang lebih khusus di politeknik dan kolej komuniti, kita sedang merangka panduan.
“Dalam konteks pergolakan geopolitik sekarang, kesannya kepada ekonomi dan peningkatan harga minyak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui RTM di Matic, hari ini.
Kata Dr. Shamsuri lagi, pengalaman pelaksanaan BDR ketika pandemik COVID-19 sebelum ini banyak membantu pihaknya dalam menghadapi situasi semasa.
Dari sudut perancangan akademik pula, perubahan yang berlaku adalah minimum memandangkan kaedah PdP secara hibrid telah pun dilaksanakan di beberapa institusi.
“Tidak banyak perubahan perancangan akademik berlaku kerana sekarang pun kita sudah menjalankan PdP secara hibrid.
“Contohnya, katakan pelajar-pelajar ingin pulang lebih awal kerana cuti hari raya dan sebagainya.
“Kita memberi autonomi kepada institusi untuk menentukan sama ada mereka nak laksanakan secara hibrid atau secara dalam talian pembelajaran tersebut,” katanya.
Dr. Shamsuri berkata, langkah berkenaan dilihat sebagai pendekatan proaktif JPPKK dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara dan mengekalkan kualiti pendidikan dalam situasi mencabar.