ROMPIN, 29 Disember -Jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Rompin meningkat kepada 80 orang setakat pukul 7 malam tadi, berbanding 49 orang pada pukul 4 petang.
Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua 20 keluarga terjejas kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balairaya Kampung Setajam.
Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan limpahan air sungai di Kampung Kurnia, Mukim Endau, sekali gus memaksa penduduk dipindahkan.
Sementara itu, menurut laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima sungai di Pahang berada pada aras Amaran.
Tiga daripadanya terletak di Rompin iaitu Sungai Pukin, Sungai Rompin di Kampung Kerpal dan Kampung Sungai Puteri.
Dua lagi sungai ialah Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kuantan di Empangan Chereh.