BUKIT MERTAJAM, 29 Disember - Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Jalan Ban Sungai Belanak, Juru sejak Sabtu lepas ditangguhkan susulan selepas tiada penemuan sepanjang pencarian dijalankan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis,mangsa dikenali sebagai Ariff Aiman Ishak, 23, dipercayai hilang selepas selepas keluar memancing, sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis.
Menurutnya, kehilangan mangsa disedari selepas ahli keluarga menemui topi keledar dan peralatan memancing milik mangsa yang masih berada di atas pelantar di lokasi terakhir dia dipercayai dilihat.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 5.36 petang, Sabtu lepas sebaik ahli keluarganya membuat laporan polis sebelum tiba di lokasi 12 minit kemudian.
"Sebanyak tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dikerahkan ke lokasi", katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, operasi dihentikan sepenuhnya pada pukul 6.30 petang tadi dan hanya akan disambung sekiranya terdapat petunjuk baharu.