KUALA LUMPUR, 29 Disember- Selangor memandang serius isu gangguan bekalan elektrik yang berlarutan di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, yang menjejaskan kira-kira 128 unit kediaman melibatkan 600 penduduk, sejak 7 Disember lalu.
Isu itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Khas Pemulihan Infrastruktur Kritikal Insiden Kebakaran Elektrik di Blok C, bagi meneliti langkah penyelesaian segera dan susulan yang dipengerusikan Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Datuk Borhan menerusi kenyataan berkata hasil penelitian awal mendapati kelemahan aspek penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kejadian kebakaran, sekali gus menjejaskan sistem bekalan elektrik serta kemudahan asas bangunan.
Sehubungan itu, tindakan pemulihan menyeluruh dan berperingkat dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk.
"Sebagai langkah awal, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalurkan peruntukan sehingga RM2 juta bagi menampung kos kerja pembaikan dan pemulihan, yang akan diselaraskan oleh kerajaan negeri termasuk pelantikan kontraktor berkaitan," kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, inisiatif tanggungjawab sosial korporat antara PKNS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut digerakkan, termasuk bantuan melalui Skim CERIA serta usaha mempercepat penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB).
Selangor menegaskan komitmen untuk terus memantau perkembangan tersebut dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka sederhana dan panjang dapat dilaksanakan demi kebajikan penduduk.