fb fb fb fb fb

PETRA catat pencapaian signifikan dalam transformasi air dan tenaga 2024–2025

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mencatatkan pencapaian signifikan dalam memperkukuh sektor air dan tenaga negara bagi tempoh 2024 hingga 2025, selaras dengan agenda kemampanan, keselamatan infrastruktur serta peralihan kepada ekonomi hijau.

Menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik pelbagai agensi di bawah PETRA serta sokongan semua pihak berkepentingan.

Menurut beliau, kejayaan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan keperluan sumber air serta tenaga pada masa hadapan.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan air dan tenaga negara, membangunkan infrastruktur yang lebih selamat dan mampan, serta memacu transformasi ke arah ekonomi hijau,” katanya.

Dalam sektor air, Datuk Seri Fadillah memaklumkan kejayaan utama dicapai menerusi penglibatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Beliau berkata, SPAN melalui pelaksanaan Skim Pelabelan Kecekapan Produk Air (WEPLS) berjaya menjimatkan sehingga 85 peratus penggunaan air, sekali gus menggalakkan gaya hidup mampan dalam kalangan pengguna.

IWK pula merekodkan pengoperasian lebih 7,000 Loji Rawatan Kumbahan dengan kadar pematuhan efluen melebihi 97 peratus, selain pelaksanaan Program Lemak, Minyak dan Gris (FOG) yang berjaya mengurangkan gangguan kumbahan.

Penggunaan tenaga solar di loji rawatan turut menjimatkan kos tenaga sehingga 15 peratus, di samping penghasilan biopepejal untuk kegunaan pertanian dan landskap.

Sementara itu, JPP mencatatkan dua juta jam kerja tanpa kehilangan masa kecederaan (LTI), memenangi Anugerah Inovasi Jabatan Perkhidmatan Awam (INNOZILLA) menerusi projek Multi-Pond Constructed Wetland System (MPCWS), selain mencipta dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR).

Dalam aspek mitigasi banjir, JPS melaksanakan 149 projek tebatan banjir yang melindungi seramai 1.77 juta penduduk, membangunkan 1,308 kilometer Denai Sungai Kebangsaan serta menjalankan pemuliharaan sungai sepanjang 2,663 kilometer.

Di Sabah dan Labuan, JBA melaksanakan sembilan projek kritikal yang berjaya meningkatkan tekanan air dan mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

Datuk Seri Fadillah turut berkata, PAAB pula memainkan peranan penting menerusi pembangunan 21 Loji Rawatan Air berkapasiti 2,081 juta liter sehari, pemasangan 4,783 kilometer paip baharu dan kritikal, pembinaan 45 tangki air berkapasiti 758 juta liter, serta penyiapan Projek Langat 2 Fasa 1 berkapasiti 1,130 juta liter sehari dengan kos RM4.2 bilion.

Penggunaan teknologi inovatif oleh PAAB turut menghasilkan tiga rekod MBOR.

NAHRIM pula menyumbang melalui penyelidikan berkaitan bahan pencemar baharu dan mikroplastik, selain pembangunan sistem GEO-PROTECT V2 bagi ramalan banjir masa nyata.

Beliau berkata, pencapaian sektor air turut diperkukuh menerusi inisiatif strategik seperti pelaksanaan AIR2040 yang menumpukan pengurusan lembangan dan data berpusat, pindaan Akta 654 dan 655, Program Pembiayaan Vendor bernilai RM100 juta bersama Bank Islam Malaysia Berhad, serta Program Pembangunan Vendor yang melibatkan 52 organisasi.

Dalam sektor tenaga pula, Datuk Seri Fadillah memaklumkan pencapaian utama melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan MyPOWER.

MyPOWER berjaya menyiapkan 10 inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Pembaharuan Pasaran Elektrik Malaysia (MESI), selain melaksanakan Pelan Hala Tuju Sumber Tenaga Teragih (DER) dan Pelan Sistem Bersepadu (ISP).

SEDA pula merekodkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 3,409.64 megawatt serta penjimatan tenaga berjumlah 359.81 gigawatt-jam, manakala Suruhanjaya Tenaga melaksanakan Program Solar Skala Besar LSS5+ dengan kapasiti 1,975 megawatt arus ulang-alik, memacu pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan berjaya mengeksport 50 megawatt tenaga hijau ke Singapura.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif strategik tenaga seperti Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4), Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Purata (AFA), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Tarif Galakan (FiT), Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) serta Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan (ATAP) telah meningkatkan kecekapan sistem tenaga negara.

Prestasi sektor tenaga turut ditunjukkan melalui penurunan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) kepada 37.36 minit, selain peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga.

Di peringkat serantau, beliau berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 mencatatkan pencapaian bersejarah menerusi pelancaran Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026–2035 (APAEC), pemeteraian Grid Tenaga ASEAN serta Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN.

Secara keseluruhannya, Datuk Seri Fadillah menegaskan pencapaian PETRA mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selain merealisasikan sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD