GUA MUSANG, 29 Disember - Seramai 30 keluarga membabitkan kira-kira 200 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini berpindah ke penempatan sementara di atas bukit sejak dua minggu lalu.
Langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap kemungkinan banjir, selain trauma akibat kejadian bencana Bah Kuning pada tahun 2014 yang menenggelamkan jalan serta kediaman penduduk.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, penduduk kampung telah bergotong-royong membina rumah bangsal atau khemah sejak Oktober lalu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Menurut beliau, penduduk kini menetap di rumah bangsal tersebut dan akan terus tinggal di kawasan berbukit sehingga keadaan cuaca kembali stabil dan musim tengkujuh berakhir.
“Pada masa hujan turun lebat, kami terus berpindah ke kawasan perkhemahan di atas bukit. Saya mengajak penduduk kampung untuk menetap sementara di situ demi keselamatan. Makanan pula disediakan oleh penduduk sendiri dengan membawa bekalan masing-masing.”
Sementara itu, tinjauan RTM mendapati penduduk yang berpindah turut membawa bersama kelengkapan asas bagi kegunaan harian ketika berada di penempatan sementara.
“Air sungai makin naik jadi kami terpaksa berpindah. Barang yang berat terpaksa ditinggalkan, kami hanya bawa keperluan asas seperti tilam, kelambu dan periuk pinggan", kata Amoi Latif ketika ditemubual RTM.
Seorang lagi penduduk, Norsilawati Amran berkata, kebimbangan terhadap hujan berterusan menyebabkan mereka memilih untuk kekal di kawasan berbukit buat sementara waktu.
“Kami takut hujan berterusan seperti tahun 2014. Di sini lebih selamat untuk kami bermalam", ujarnya.
Penduduk berharap cuaca kembali pulih dan keadaan sungai surut agar mereka dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat.
Terdahulu, peristiwa bencana 'Bah Kuning Kelantan' melanda negeri Pantai Timur itu pada Disember 2024 dan menenggelamkan sebahagian besar Kelantan dengan lebih 170,000 mangsa dipindahkan dan ribuan rumah musnah.