fb fb fb fb fb

SAR remaja disambar buaya, empat perangkap dipasang di Sungai Kelai

Foto JBPM Sarawak

DARO, 29 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja yang hilang disambar buaya di Daro, Sarawak, Jumaat lalu kini fokus kepada pemasangan perangkap buaya sepanjang Sungai Kelai.

Sarawak Forestry Corporation mengambil langkah tambahan dengan memasang empat umpan baharu termasuk satu umpan di lokasi baharu dan tiga di lokasi berbeza, yang dikenal pasti ada potensi buaya bersembunyi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari keempat hari ini digerakkan seawal pukul 7.36 pagi tadi bagi menyambung semula usaha pencarian.

Operasi melibatkan pemantauan di pesisir sungai serta pemeriksaan di lokasi pemasangan perangkap buaya.

Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga perangkap buaya yang dipasang sebelum ini masih belum membuahkan hasil.

Mangsa, Agustine Fernando Nyalong, 14 tahun dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, selepas dipercayai disambar buaya ketika berada di kawasan sungai berkenaan.

Operasi turut disertai pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Kawalan Pantai Sarawak (UKPS), Sarawak Coastguard, Lembaga Sungai serta penduduk kampung setempat yang membantu melakukan pemantauan di kawasan hilir sungai menggunakan bot masing-masing.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM