fb fb fb fb fb

Malaysia perlu adaptif, berdaya tahan dalam ketidaktentuan global

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

LONDON, 17 Januari - Malaysia perlu bersifat adaptif, berdaya tahan, berprinsip, dan mempunyai pandangan yang jelas untuk memposisikan negara, di tengah-tengah arus ketidaktentuan yang terus berubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu suatu keperluan kerana kedudukan yang kritikal dalam rantaian bekalan global serta laluan perdagangan maritim.

"Pertama sekali, Malaysia akan terus komited untuk memupuk pertumbuhan yang dikongsi bersama, memperkukuh kerjasama serantau, dan mengekalkan keterbukaan kita terhadap perdagangan, pembangunan, dan perniagaan.

"Ini akan melibatkan pendekatan yang inklusif dan mampan terhadap keamanan dan keselamatan di rantau terdekat kita, dan seterusnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics di sini pada pagi Jumaat waktu tempatan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar menambah Malaysia akan berusaha meremajakan mekanisme utama seperti ASEAN Plus Three dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Beliau menjelaskan, kedua-duanya telah diiktiraf kerana kuasa pengumpulannya, tetapi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

"Sidang Kemuncak Asia Timur adalah satu-satunya forum serantau yang khusus untuk isu-isu strategik dan keselamatan di rantau kita yang dikendalikan oleh para pemimpin, dan di mana kuasa-kuasa yang bersaing bertemu dalam suasana neutral," katanya.

Tegas Anwar lagi, Malaysia tidak mahu terjebak dengan pertikaian kuasa-kuasa besar, sebaliknya lebih suka bekerjasama dengan negara-negara anggota yang sehaluan dan rakan dialog.

Dalam pada itu, Anwar mempertahankan penyertaan Malaysia ke BRICS. Keputusan itu diambil berdasarkan faktor geo-ekonomi termasuk mengambil kira kerjasama negara-negara ASEAN dalam membentuk pembangunan yang mampan.

"Melalui paradigma yang berpandangan ke hadapan dan holistik inilah Malaysia datang kepada keputusan strategik untuk menyertai BRICS. Ia tidak, seperti beberapa pakar ingin mendakwa, tentang Malaysia memilih pihak. Ia adalah kira-kira pengiktirafan yang berpandangan jelas tentang geopolitik dan geoekonomi perubahan yang berlaku di sekeliling kita dan mengembangkan pilihan kita,"

Tambah beliau, selain Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia juga berhasrat untuk menyertai BRICS bagi memperkembangkan ekonomi negara masing-masing.

Ia secara langsung membawa kerjasama erat bersama negara-negara selatan (South Global) dan negara-negara utara (North Global).

Daripada aspek kepengerusian ASEAN pula, Malaysia turut bercadang memperkembangkan hubungan ASEAN bukan sahaja bersama-sama pertubuhan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah, tetapi juga bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) .

TETITIA YUSOFF