fb fb fb fb fb

Malaysia amal pendekatan terbuka dengan AS, China

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

LONDON 17 Januari - Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dan pragmatik dalam menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan dengan kedua-dua negara besar itu berteraskan penghormatan bersama dan perkongsian kepentingan yang saling menguntungkan.

Walaupun terdapat pandangan bahawa Malaysia beralih kepada China, Anwar menegaskan bahawa AS masih kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing terbesar di Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi.

"China pula telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, menandakan 16 tahun hubungan perdagangan yang berkembang pesat dan menjadi pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau menambah, menjalin hubungan yang kukuh dengan AS dan China bukan hanya berkisar soal pragmatisme ekonomi tetapi ia juga merupakan keperluan strategik untuk melindungi kepentingan negara Malaysia dalam dunia yang semakin tidak menentu.

"Dengan menggalakkan penglibatan yang seimbang dan konstruktif antara kedua-duanya, Malaysia memastikan asas ekonomi yang lebih pelbagai, mengurangkan pergantungan berlebihan, dan memperkukuhkan kedudukan sebagai ekonomi yang tahan lasak, terbuka dan berdaya saing," tambah beliau.

Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics pada pagi Jumaat waktu tempatan.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa Malaysia akan memastikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan, kewangan dan teknologi yang berdaya saing dapat bertahan dalam menghadapi perubahan-perubahan global yang berlaku di sekeliling negara.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa negara-negara baharu seperti Korea Selatan, India, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Turki, Brazil, dan Afrika Selatan sedang membentuk dan mengubah keadaan ekonomi yang tidak menentu, yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

TETITIA YUSOFF