
PUTRAJAYA, 7 April– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan komitmen penuh untuk menggalas tanggungjawab sebagai agensi peneraju sektor perairan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
- Pelantikan Maritim Malaysia di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi amanah besar untuk memperkukuh kawal selia.
- Perhebat operasi penguatkuasaan untuk mengekang pemindahan minyak haram kapal ke kapal dan bunkering tanpa lesen.
- Penggunaan teknologi satelit, kerjasama serantau dan pemantauan kawasan panas dipertingkatkan untuk cegah ketirisan subsidi.
- Pasukan Khas Op Tiris 4.0 di Sabah, Sarawak dan Labuan kukuhkan koordinasi dan sokong tindakan tegas termasuk penggantungan kad fleet.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam satu kenyataan berkata pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar susulan keputusan kerajaan untuk memperkukuh kawal selia di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Jelasnya, Maritim Malaysia akan memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti pemindahan minyak secara haram dari kapal ke kapal (ship-to-ship) serta kegiatan bunkering tanpa lesen di perairan negara.
“Maritim Malaysia komited memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara tegas dan bersepadu bersama agensi lain bagi menutup sebarang ruang ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sepanjang tahun 2025, Maritim Malaysia telah merekodkan nilai rampasan bahan api berjumlah hampir RM6.5 juta, melibatkan rampasan 13,290 liter diesel dan 247,333 liter petrol.
Bagi meningkatkan keberkesanan operasi, beliau menjelaskan bahawa penggunaan teknologi satelit, kerjasama serantau serta pemantauan di “kawasan panas” akan dipertingkatkan.
Selain itu, penubuhan Pasukan Khas Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di Sabah, Sarawak dan Labuan dijangka bakal memperkukuh koordinasi antara agensi Persekutuan serta negeri.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan tindakan tegas termasuk penggantungan serta pembatalan kelulusan kad fleet (fleet card) sekiranya berlaku penyalahgunaan subsidi diesel.
Maritim Malaysia memberi amaran keras bahawa pihak Maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan.