fb fb fb fb fb

Warga emas rentung dalam kebakaran

Foto RTM

SARIKEI, 16 November - Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan kediamannya di Jalan Minah, Sarikei awal pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.33 tengah malam, dan susulan itu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dengan bantuan BBP Bintangor dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 90 tahun itu dipercayai terperangkap di dalam bilik tidur sebelum ditemukan rentung pada pukul 2.18 pagi di bawah timbunan sisa kebakaran.

Ketika kejadian, empat penghuni yang lain berjaya menyelamatkan diri.

Menurut Komander Operasi, PBK I Hilary Pitry Ambit, rumah berstruktur tidak kekal tersebut musnah 100 peratus termasuk sebuah stor penyimpanan serta dua buah kenderaan yang hangus terbakar sepenuhnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa pasukan bomba telah bertindak pantas dengan membentang satu aliran sepanjang 100 kaki dan menggunakan dua pancutan air bagi mengawal dan memadamkan kebakaran, namun berdepan kesukaran akibat tekanan air rendah yang menjejaskan kelancaran operasi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 3.35 pagi untuk tindakan lanjut.

EZA YUSMAWATI YAACOP