fb fb fb fb fb

Sultan Perak berangkat saksikan teater 'Kampung Boy'

Seniman Negara, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat (tengah) bergambar bersama barisan pelakon selepas menyaksikan pementasan teater Seniman Negara Datuk Lat – Kampung Boy di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) malam tadi / BERNAMA

IPOH, 16 November -Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyaksikan pementasan karya teater Seniman Negara, Datuk Lat, “Kampung Boy” di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, malam tadi.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat.

Teater arahan Ridhwan Saidi itu diadaptasi daripada siri komik ikonik The Kampung Boy, yang mengisahkan perjalanan zaman kanak-kanak Datuk Lat sebagai seorang budak kampung.

JKKN dalam kenyataan memaklumkan, teater itu dipentaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi JKKN Perak serta Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Yayasan Hasanah.

Ia bukan sahaja sebagai penghormatan kepada Datuk Lat, tetapi juga sebuah karya seni yang mengangkat nilai budaya dan identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui sentuhan kreatif beliau.

Pementasan berlangsung selama tiga malam bermula 14 November hingga 16 November, dibintangi Taiyuddin Bakar, Safura Ya’cob, Ilya Senario, Hadi Mikail dan beberapa pelakon lain.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN