KOTA KINABALU, 16 November -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Sabah untuk terus mempertahankan perpaduan yang menjadi kekuatan negeri itu, tanpa terjebak dalam politik sentimen kaum atau perpecahan.
Beliau berkata, Sabah sejak dahulu menjadi contoh kehidupan berbilang kaum dan agama yang harmoni dan nilai itu perlu kekal dipelihara.
“Sabah ini bukan negeri miskin; Sabah negeri kaya. Sabah bersama Malaysia dengan satu cita-cita, bangkitkan negeri Sabah bersama Malaysia,” katanya.
Beliau berucap pada Ceramah Mega PMX Sayang Sabah di Putatan, malam tadi.
Datuk Seri Anwar menegaskan, sesiapa sahaja yang mahu menjadi wakil rakyat perlu memahami sejarah Sabah serta menghormati asas perpaduan yang membentuk negeri itu.
Beliau turut menekankan bahawa keamanan dan kerjasama antara kaum adalah kekuatan utama Malaysia.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu besar di Sabah termasuk bekalan air, infrastruktur, gaji penjawat awam dan pemulangan kuasa pengurusan elektrik kepada kerajaan negeri.
“Tahun depan, insya-Allah 2026, masalah air Sabah selesai. Electrik, itu memang hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963. Saya kata buat undang-undang, serah balik kepada Sabah,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha menarik pelaburan ke negeri itu turut dipergiat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.
Dalam masa sama, tambahan perbelanjaan kerajaan untuk skim gaji dan bantuan tunai Rahmah tahun ini mencecah RM10 bilion dan bakal meningkat kepada RM18 bilion pada 2026.
Datuk Seri Anwar mengakui isu jalan rosak dan akses elektrik di pedalaman masih menjadi cabaran, namun menyatakan pelbagai projek baharu sedang dilaksanakan.
Setakat ini, sebanyak 1,000 tiang elektrik solar MADANI telah dipasang di kampung-kampung seluruh Sabah, menjadikan negeri itu yang pertama menikmati kemudahan tersebut.