MIRI, 15 November – Sebuah kedai perabot dan empat buah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar di Kampung Wireless dalam kejadian petang tadi.
Manakala tiga lagi rumah mengalami kerosakan antara 15 hingga 20 peratus.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan berhubung kejadian diterima pada 5.35 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Lopeng dan Lutong dikerahkan ke lokasi.
"Setibanya pasukan bomba, kedai perabot berstruktur kayu itu didapati terbakar 100 peratus, diikuti empat rumah berhampiran yang turut musnah sepenuhnya.
"Tiga lagi rumah rosak akibat bahang kuat dan api merebak dari struktur berhampiran," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan sebuah kapal dari pesisiran Sungai Miri bagi mempercepatkan sumber air ke lokasi kejadian.
Seramai 23 anggota bomba dengan kekuatan tiga jentera FRT terlibat, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan SESCO Berhad.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.