Copa del Rey: Atletico Madrid mara ke akhir meskipun tewas

Para pemain Atletico Madrid meraikan kejayaan mara ke pentas akhir Copa del Rey/REUTERS

BARCELONA, 4 Mac – Atletico Madrid mara ke perlawanan akhir Piala Copa del Rey buat kali pertama sejak 2013 meskipun tewas 0-3 kepada Barcelona pada aksi separuh akhir kedua di Camp Nou, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atletico Madrid mara ke final Copa del Rey untuk pertama kali sejak 2013 walaupun tewas 0-3 kepada Barcelona.
  • Barcelona menguasai perlawanan, menjaringkan tiga gol melalui Bernal (dua) dan Raphinha dari penalti.
  • Atletico mempertahankan kelebihan agregat 4-3 dan akan menunggu pemenang perlawanan Real Sociedad vs Athletic Bilbao.

Kemenangan 4-0 pada aksi pertama di Madrid sudah memadai untuk memastikan Atletico melangkah ke aksi akhir dengan agregat 4-3 dalam perlawanan penuh dramatik itu.

Barcelona menguasai perlawanan seawal sepak mula dan memerlukan sekurang-kurangnya empat gol untuk mengheret aksi ke masa tambahan, sekali gus memaksa anak buah Diego Simeone bertahan hampir sepanjang perlawanan.

Lamine Yamal mencetus kebangkitan tuan rumah pada minit ke-30 apabila melepasi dua pertahanan sebelum melakukan hantaran lintang rendah yang mudah disudahkan Bernal dari jarak dekat.

Barcelona kemudiannya menggandakan jaringan menerusi penalti yang disempurnakan Rapinha sejurus sebelum rehat selepas Pedri dijatuhkan pertahanan Atletico dalam kotak penalti.

Gol ketiga perlawanan hadir pada minit ke-72 menerusi rembatan voli Bernal hasil hantaran Joao Cancelo.

Namun, Atletico berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.

Atletico bakal bertemu pemenang satu lagi separuh akhir antara Real Sociedad dan Athletic Bilbao, dengan Sociedad membawa kelebihan agregat 1-0 menjelang aksi kedua.

Sementara itu, ketua pasukan Barcelona, Raphinha tetap bangga dengan persembahan pasukannya.

“Perlawanan seperti ini membuatkan anda bangga dengan pasukan. Jika kami terus bermain seperti ini, musim ini boleh berakhir dengan sesuatu yang istimewa.

“Kami juga tahu kami berdepan pasukan yang sangat kuat bertahan,” katanya. – REUTERS