fb fb fb fb fb

Kes tular pukul OKU tidak berlaku di tapak pasar FAMA

Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan / RTM

KUALA TERENGGANU, 23 Januari- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan FAMA Terengganu menafikan kejadian pukul lelaki orang kurang upaya OKU berlaku di tapak pasar seliaannya.

Di Kemaman, FAMA hanya mengendalikan tiga tapak iaitu Pasar Tani Chukai FAMA, Pasar Tani Kekal PTK Dusun Nyiur dan Pasar Tani Pantai Penunjuk Kijal.

Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata Pasar Tani Padang Astaka Chukai atau lebih dikenali sebagai Pasar Pagi Jalan Padang Astaka Chukai yang dikaitkan sebagai lokasi kejadian pada 17 Januari lalu adalah bawah seliaan Persatuan Penjaja Kemaman.

Waktu operasi Pasar Tani Chukai FAMA dan Pasar Pagi Jalan Padang Astaka Chukai adalah sama iaitu setiap Jumaat bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari dan lokasinya pula berdekatan.

Muhamad Fadlee berkata penjelasan perlu dilakukan  kerana dikhuatiri akan menjejaskan punca rezeki usahawan di bawah FAMA.

"Harapan saya janganlah boikot usahawan termasuk FAMA sendiri, disinilah tempat usahawan cari makan, jadilah pasar tani kita sebagai pilihan utama untuk tuan-tuan hadir ke tapak pasar tani.

"Kita ada AJK dan penyelia di situ untuk keselamatan, kita akan jaga insya-Allah," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pasar tani di Jalan Hiliran Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Fadlee berkata pihaknya akan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap usahawan bimbingan FAMA yang didapati terlibat dalam jenayah dan kekerasan.

Di Terengganu terdapat 1,500 usahawan FAMA dan 111 buah outlet.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE