
KUALA LUMPUR, 5 April – Penipuan kewangan di negara ini mencatatkan kerugian sebanyak RM2.8 bilion pada tahun 2025, dengan 95 peratus daripada kes penipuan dalam talian melibatkan transaksi dengan kebenaran.
- Institusi kewangan perlu mempertingkatkan sistem pembayaran digital dan terus melabur dalam teknologi bagi memperkukuh pertahanan terhadap penipuan.
- Pengguna perlu dilengkapkan dengan kesedaran serta alat lebih baik untuk memastikan penggunaan perbankan digital yang selamat.
- BNM akan menilai peluasan skop Dasar Layanan Adil termasuk melindungi mangsa transaksi perbankan elektronik dengan kebenaran.
- Mengkaji peranan penyedia telekomunikasi dan platform digital dalam rangka kerja pampasan untuk memperluas kebertanggungjawaban ekosistem.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), situasi ini menuntut institusi kewangan untuk mempertingkatkan sistem pembayaran digital yang kekal selamat, selain memelihara keyakinan pengguna.
“Institusi kewangan perlu terus melabur dalam teknologi bagi memperkukuh pertahanan terhadap penipuan, manakala pengguna perlu dilengkapi dengan kesedaran serta alat yang lebih baik untuk memastikan penggunaan perbankan digital yang selamat,” jelas BNM dalam rencana “Penyelesaian bagi Penipuan: Memupuk Keyakinan Melalui Tanggungjawab Bersama” sempena Laporan Tahunan 2025.
BNM turut memaklumkan pihaknya akan menilai keperluan memperkukuh perlindungan terhadap golongan pengguna yang mudah terjejas, termasuk mempertimbangkan peluasan skop Dasar Layanan Adil bagi Mangsa Transaksi Perbankan Elektronik Tanpa Kebenaran (SEFT), dengan mengambil kira tahap celik kewangan digital serta landskap penipuan semasa di Malaysia.
Jelasnya, langkah peluasan itu penting memandangkan transaksi dengan kebenaran pada masa ini berada di luar skop perlindungan SEFT, yang hanya merangkumi transaksi tanpa kebenaran iaitu kes melibatkan pencerobohan sistem oleh pihak ketiga tanpa pengetahuan mangsa.
Sehubungan itu, peluasan skop berkenaan dilihat perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh bagi membanteras penipuan, selain memastikan keyakinan terhadap sistem kewangan negara terus terpelihara.
Dalam masa sama, pendekatan yang diamalkan di beberapa negara lain termasuk melibatkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta platform digital dalam rangka kerja pampasan turut dilihat wajar dipertimbangkan, sejajar dengan peranan penting pihak tersebut dalam ekosistem digital masa kini.
Langkah itu berpotensi memperkukuh perlindungan pengguna, di samping memperluas skop kebertanggungjawab merangkumi semua pihak yang terlibat.