
KUALA LUMPUR, 5 April -Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kewangan Islam di rantau ASEAN menerusi pelaksanaan strategi jangka panjang yang tersusun dan menyeluruh, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
- Mengukuhkan tadbir urus Syariah serta memperbaiki rangka perundangan dan pengawalseliaan bagi memperkasa sektor kewangan Islam.
- Menggalakkan inovasi seperti sukuk, kewangan sosial dan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk menarik pelabur dan menguatkan pasaran serantau.
- Memodenkan serta mempelbagaikan produk, meluaskan saluran pengagihan, menyokong PKS halal dan rantaian nilai serantau.
- Memperluas inklusi dan kelestarian dengan penyelesaian patuh Syariah untuk PMKS, komuniti kurang mendapat perkhidmatan dan sektor terdedah iklim.
Menurut bank pusat, pembangunan sektor tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus Syariah, penambahbaikan rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan, serta penggalakan inovasi bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial yang semakin berkembang.
Hasil usaha berterusan itu sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara yang memiliki ekosistem kewangan Islam yang lengkap, merangkumi perbankan, pasaran modal, pasaran kewangan dan takaful.
“Malaysia telah membangunkan institusi kewangan Islam yang berwibawa dan berdaya saing menerusi kepakaran yang tinggi dan rekod prestasi yang kukuh.
”Bank-bank domestik yang lebih besar mempunyai kedudukan yang kukuh di rantau ini dan menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan Islam. Peranan mereka turut diiktiraf sebagai penasihat dalam penerbitan sukuk di ASEAN dan global,” menurutnya dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Tambah BNM, Malaysia juga kekal sebagai peneraju inovasi kewangan Islam, termasuk dalam pembangunan sukuk, kewangan sosial serta penerapan konsep Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI).
Pendekatan VBI bukan sahaja menjadi rujukan kepada negara ASEAN lain, malah berjaya menarik minat pelabur antarabangsa dan memperkukuh pasaran kewangan Islam serantau.
Menuju ke hadapan, bank pusat itu berkata usaha merealisasikan potensi kewangan Islam Malaysia dalam kalangan negara di ASEAN memerlukan pendekatan yang lebih terselaras merangkumi keseluruhan ekosistem.
Jelas BNM, peserta industri Malaysia perlu terus memodenkan dan mempelbagaikan produk, selain meningkatkan tawaran nilai serta meluaskan saluran pengagihan bagi menembusi pasaran serantau dengan lebih meluas.
“Antara keutamaan adalah memperkukuh rangkuman kewangan dan kelestarian, khususnya dengan memperluas penyelesaian patuh Syariah bagi menangani jurang pembiayaan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), komuniti kurang mendapat perkhidmatan kewangan serta sektor yang terdedah kepada risiko iklim,” kata BNM.
Tambah BNM, institusi kewangan turut digesa memainkan peranan lebih besar dalam rantaian nilai halal serantau, termasuk menyediakan pembiayaan kepada PKS halal, menyokong perdagangan rentas sempadan serta memperkukuh integrasi rantaian bekalan.
Dalam masa sama, pendigitalan perkhidmatan kewangan Islam juga perlu dipercepat, termasuk melalui kerjasama fintech, model kewangan tersirat dan inovasi berasaskan data.
Menurut bank pusat itu, ekosistem digital yang lebih kukuh dapat meningkatkan pengalaman pelanggan, meningkatkan kecekapan operasi, dan memperluas capaian kepada populasi ASEAN yang pelbagai serta sangat mudah alih.