
KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu akan memperketat pemantauan di semua sekolah susulan dakwaan salah laku amang seksual melibatkan seorang guru di Besut yang mencetuskan perhatian umum.
- JPN memandang serius isu kerana menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan.
- JPN memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dan tindakan tatatertib diambil mengikut prosedur.
- Pentadbir sekolah diingatkan lebih peka dan proaktif mengesan petunjuk awal serta menangani aduan dengan segera dan berkesan.
- Memperkasa budaya integriti dan pemantauan berterusan untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan murid; orang ramai diminta tidak menyebar spekulasi.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamad berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia memberi kesan langsung terhadap kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan.
Menurut beliau, JPN Terengganu bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, di samping tindakan tatatertib diambil mengikut prosedur ditetapkan.
Dalam pada itu, semua pentadbir sekolah diingatkan agar lebih peka dan proaktif dalam mengesan sebarang petunjuk awal salah laku, selain memastikan setiap aduan ditangani dengan segera dan berkesan.
Tambah beliau, usaha memperkukuh budaya integriti dan pemantauan berterusan perlu diperkasa bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan murid di sekolah.
JPN Terengganu juga menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan, bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan yang sedang berjalan.