12 pemain, tiga pegawai Thailand dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib ISTAF

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Sebanyak 12 pemain dan tiga pegawai delegasi Thailand dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) susulan kontroversi ketika final acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, di sini bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dirujuk dibuat sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif selepas mesyuarat khas menilai insiden perlawanan regu ketiga.
  • Rujukan bertujuan membolehkan siasatan menyeluruh, bebas dan adil terhadap semua fakta serta keadaan yang membawa kepada tindakan pasukan Thailand.
  • Ia merangkumi individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbang, menyokong atau memudahkan peristiwa yang menyebabkan perlawanan ditinggalkan.
  • Jawatankuasa Tatatertib akan meneliti bukti dan memberi peluang penjelasan, sementara ISTAF menggesa tiada spekulasi dan menegaskan komitmen kepada integriti.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif badan induk berkenaan selepas mengadakan mesyuarat khas pada 30 Mei bagi meneliti insiden yang berlaku sewaktu perlawanan regu ketiga di Stadium Titiwangsa.

Beliau berkata rujukan itu dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh, bebas dan adil dilakukan terhadap semua fakta serta keadaan yang membawa kepada tindakan dibuat pasukan Thailand sewaktu final tersebut.

“Rujukan ini merangkumi individu yang mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung, menyumbang, mengambil bahagian, menyokong, mempengaruhi, memudahkan, menggalakkan, atau dalam apa cara sekalipun memainkan peranan dalam peristiwa dan keputusan yang mengakibatkan perlawanan tersebut ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 pada 23 Mei itu dicemari kontroversi selepas Thailand menarik diri sebagai membantah keputusan pengadil, dengan Malaysia kemudiannya diisytiharkan menang 2-1.

Abdul Halim berkata rujukan tersebut bagaimanapun tidak boleh dianggap sebagai keputusan bahawa mana-mana atlet atau pegawai telah melakukan salah laku atau melanggar peraturan.

Sebaliknya beliau berkata Jawatankuasa Tatatertib ISTAF akan meneliti semua bukti, hujah dan representasi sebelum menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap perlembagaan, peraturan, undang-undang atau kod etika badan induk sukan warisan tersebut.

Katanya setiap individu yang terlibat akan diberikan peluang sewajarnya untuk mengemukakan penjelasan dan bukti sokongan selaras dengan prinsip keadilan asasi serta kesaksamaan prosedur.

Abdul Halim pada masa sama turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara proses tatatertib berjalan dan menegaskan badan induk itu kekal komited memastikan sukan sepak takraw ditadbir dengan integriti, keadilan dan akauntabiliti. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.