fb fb fb fb fb

Polis siasat dakwaan salah laku anggota dalam serbuan Op Tapis

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Polis sedang menyiasat dakwaan salah laku empat anggotanya yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta terlibat dalam pemerasan ketika melakukan serbuan di sebuah kediaman di Damansara dalam Op Tapis, Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shahrulnizam Ja'afar, berkata siasatan dijalankan susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun terbabit.

"Polis mengesahkan serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Pelangi Damansara pada 10 Oktober tahun lalu dalam Ops Tapis di kawasan berkenaan.

"Kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan yang ditularkan, dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, rakaman tular di media sosial memaparkan beberapa anggota polis berpakaian preman menyerbu sebuah kediaman. Mereka turut didakwa bertindak memecahkan CCTV setelah menyedari aksi mereka dirakam, selain dikatakan terlibat dalam pemerasan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE