fb fb fb fb fb

Rasuah polis, banduan mengaku tidak bersalah

Tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun akibat kesalahan dadah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Rabu / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 19 Februari-Seorang banduan Penjara Kluang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis di Segamat, Oktober tahun lalu. 

Tertuduh, Samsuri Arijan, 48 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun atas kesalahan dadah, didakwa memberi suapan RM3,700 kepada seorang anggota polis di IPD Segamat, Oktober 2024 lalu.

Suapan berkenaan sebagai dorongan melepaskannya yang ditahan kerana memiliki dadah.

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Faizal Kamaruzzaman manakala tertuduh diwakili K. Bharathi.

Di mahkamah sama, seorang pembaiki mesin di Skudai, mengaku tidak bersalah memberi rasuah RM4,000 kepada seorang pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Chong Kin Yeong, 46 tahun dituduh melakukan perbuatan itu, sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan sitaan mesin di premis dia bekerja, yang melanggar syarat sah lesen.

Hakim menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin beserta dua syarat tambahan.

Kedua-dua kes disebut semula bagi serahan dokumen pada 19 Mac hadapan. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD