fb fb fb fb fb

Empat premis melombong bitcoin digempur di Sungai Petani

Empat buah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti melombong bitcoin digempur dalam satu operasi khas di Sungai Petani, Kedah / Foto Hiasan

SUNGAI PETANI, 19 Februari – Empat buah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti melombong bitcoin digempur dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Sungai Petani, Isnin lalu.

Komander Briged Utara PGA, SAC Shahrum Hashim berkata menerusi operasi tersebut pihaknya berjaya merampas pelbagai peralatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM890,950.

"Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat premis tersebut disyaki melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram bagi menjalankan operasi perlombongan mata wang kripto itu.

"Antara barangan yang dirampas termasuk 111 unit mesin perlombongan bitcoin, lima unit router, dua unit modem serta satu unit komputer riba," katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

SAC Shahrum turut menegaskan, pihak PGA Briged kini giat menjalankan pemantauan serta rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang, dan Kedah bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang, termasuk kecurian bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang kripto.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN