KUALA LUMPUR, 19 Februari- Seramai 124 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan menerusi serbuan Ops Kutip di sebuah rumah flat di Chow Kit, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata operasi itu dijalankan selepas dua minggu risikan susulan aduan awam mengenai kebanjiran PATI yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk setempat.
Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, antaranya tiada dokumen sah dan tinggal lebih masa.
"Tangkapan pada malam ini melibatkan enam warganegara iaitu Indonesia, Bangladesh,Myanmar, Nepal, Pakistan dan India.
"Kita dapati pemeriksaan malam ini, mereka menduduki rumah secara bersesak-sesak ada yang saya masuk tadi seramai 23 orang duduk rumah lima bilik dengan kadar sewaan antara RM800 hingga RM2200.
"Walaupun keadaan flat ini amat tidak sesuai tidak selesa, tapi kadar sewanya agak tinggi kerana permintaaan tinggi daripada warga asing," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan terdapat PATI yang cuba melarikan diri semasa operasi dijalankan.
Namun dengan ketangkasan anggota penguatkuasa, mereka berjaya ditangkap.
Sementara itu, Wan Mohammed Saupee memaklumkan lebih 900 PATI ditahan dalam 119 operasi yang dilaksana Jabatan Imigresen Kuala Lumpur sejak bulan lepas hingga kini.
Beliau berkata, manakala 30 warganegara yang dikategorikan sebagai majikan turut ditangkap.
"Pemeriksaan membabitkan 1,943 PATI dengan tangkapan seramai 920 orang. Kita juga tidak melepaskan warganegera yang terlibat yang dikategorikan sebagai majikan dengan tangkapan sebanyak 30 orang majikan.
"Kesemua mereka ini akan disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang tanpa krompomi," katanya.
Beliau turut menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan operasi secara berterusan, terutama di kawasan tumpuan PATI.