Cabaran menyediakan peluang pekerjaan untuk generasi bijak pandai

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu beralih daripada sekadar mewujudkan pekerjaan kepada menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi yang menawarkan gaji setimpal dan laluan kerjaya menarik.
  • Reformasi struktur bagi merangsang pertumbuhan sektor swasta, meningkatkan persaingan, pelaburan bernilai tinggi dan penglibatan R&D untuk buka peluang pekerjaan berkemahiran.
  • Kerajaan, perniagaan dan IPT perlu usaha bersepadu bagi upskilling, reskilling dan menyesuaikan kemahiran graduan dengan kehendak pasaran termasuk kecerdasan buatan.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024. Seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.

Kejayaan yang direkodkan ini membuktikan kita mampu melahirkan ramai anak-anak yang cemerlang di mana kelompok ini akan meneruskan pengajian selanjutnya sehingga boleh bergelar sebagai seorang graduan yang hebat, kelak.

Senario ini bakal mencetuskan gelombang keperluan untuk negara mewujudkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dan lebih berkualiti kepada golongan cerdik pandai ini agar bakat, pengetahuan dan kemahiran mereka diiktiraf sewajarnya.

Ironinya walaupun kadar pengangguran Malaysia kekal stabil pada 2.9 peratus bagi Disember 2025, dengan bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan peningkatan kepada 17.13 juta, namun wujud keperluan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dengan bayaran upah atau gaji yang setimpal.

Hal ini kerana masih ramai graduan yang bekerja dengan jenis pekerjaan di bawah kelayakan sekali gus menerima gaji yang lebih rendah. Situasi ini menyebabkan golongan ini bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup pada kadar yang sewajarnya.

Secara prinsipnya sudah tiba masa untuk kita memikirkan keperluan negara beralih daripada sekadar mewujudkan pekerjaan kepada menyediakan pekerjaan yang lebih berkualiti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata cabaran utama negara ketika ini bukan lagi kekurangan peluang pekerjaan, sebaliknya cara meningkatkan kualiti pekerjaan supaya mampu menawarkan gaji lebih tinggi dan kemahiran bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan.

Beliau menyatakan perkara itu dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global yang turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Persoalan yang dibangkitkan dan menjadi cabaran pada kita ketika ini ialah, bagaimana Malaysia boleh beralih daripada ‘jobs’ kepada ‘better jobs’. Dalam konteks ini disyorkan negara perlu mewujudkan peluang perniagaan yang mampu menawarkan pekerjaan berkualiti tinggi.

Pelbagai pihak dilihat sedang melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan termasuk dalam kalangan graduan baharu. Ini adalah satu pendekatan yang sangat penting bagi meningkatkan kemampuan graduan selain memenuhi keperluan pasaran buruh.

Usaha bersepadu pihak kerajaan, swasta termasuk IPT seperti ini penting agar negara tidak ketandusan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi sekali gus memenuhi kehendak para majikan. Ironinya senario ini akan meningkatkan permintaan terhadap peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Justeru inisiatif peningkatan kemahiran perlu selari pula dengan peningkatan atau tawaran peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan laluan kerjaya yang lebih menarik khususnya dengan tawaran gaji yang setimpal dengan kelayakan.

Dalam hal ini kita perlu melihat apa kekangan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh pihak perniagaan dalam menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negara ini.

Menarik untuk diteliti beberapa isu yang dibangkitkan oleh Dr Apurva, antaranya sebahagian besar firma di Malaysia ketika ini dilaporkan tidak menghadapi tekanan persaingan dan permintaan yang mencukupi untuk mendorong pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi.

Selain itu, kekangan yang dihadapi syarikat tempatan dalam tiga aspek utama iaitu kemasukan (entry), pengembangan (expansion) dan keluar (exit) daripada pasaran juga wajar diberikan perhatian.

Ringkasnya, Apurva menegaskan reformasi struktur yang menyeluruh perlu dipercepatkan bagi merangsang pertumbuhan sektor swasta, sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi.

Ini adalah pandangan yang yang perlu diberikan perhatian serius jika kita mahu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada tenaga kerja tempatan.

Jujurnya negara kita tidak berhadapan dengan masalah kekurangan bakat tetapi dikhuatiri berlaku pembaziran potensi apabila kita belum mampu menyediakan peluang yang lebih baik untuk bakat-bakat ini menzahirkan kehebatan mereka.

Ironinya kita sedang berhadapan dengan konflik peperangan di Asia Barat serta masalah geopolitik dunia yang secara umumnya banyak menganggu aktiviti ekonomi global termasuk negara kita. Ini meningkatkan lagi cabaran untuk kita merancakkan kadar pertumbuhan ekonomi yang boleh membantu membuka peluang pekerjaan baharu.

Cabaran ini juga perlu ditangani dengan berhemat supaya tatkala kita menguruskan gangguan terhadap pertumbuhan ekonomi, kita tetap memberi perhatian kepada keperluan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk golongan anak muda terutamanya graduan yang mahukan kerja dan gaji yang setimpal dan sepadan dengan kelayakan masing-masing.

Pada masa sama diharap firma tempatan terus meningkatkan aspek persaingan khususnya di pasaran serantau dan antarabangsa, selain fokus kepada aspek inovasi dengan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ini bukan saja akan membantu meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, malah boleh membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk bakat tempatan.

Selain itu diharap pihak kerajaan juga terus merancakkan usaha untuk menarik pelaburan asing berkualiti tinggi yang turut akan membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih berkualiti.

Golongan belia khususnya graduan pula diharap tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha untuk meningkatkan bakat, pengetahuan dan kemahiran masing-masing agar menyesuaikan kelayakan diri dengan keperluan pasaran kerjaya semasa khususnya perlu mengambilkira revolusi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.

Tenaga kerja sedia ada juga perlu fokus kepada inisiatif peningkatan kemahiran (upskilling) dan penukaran kemahiran (reskilling) agar kekal relevan dalam kerjaya tersebut.

Tuntasnya, usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia pada ketika ini sedang berhadapan dengan cabaran yang cukup besar namun tidak mustahil dilaksanakan secara berfasa dengan syarat kita mengguna pakai pendekatan menyeluruh yang melibatkan transformasi industri, pemerkasaan modal insan, dan inovasi dasar.

Pada akhirnya harapan kita ialah agar Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah dan membangunkan tenaga kerja tempatan yang dinamik, berdaya saing, dan berkemahiran tinggi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my