BUKIT KAYU HITAM, 26 Oktober - Enam warga Bangladesh masing-masing empat lelaki dan dua wanita ditolak daripada memasuki Malaysia selepas disyaki bukan pelancong tulen.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir dalam kenyataan memaklumkan penolakan itu dilaksana melalui jalan darat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu tersebut tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan dan disyaki bukan pelancong tulen.
“Kesemua mereka tidak dibenarkan masuk melalui jalan darat dan diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” jelasnya.
Beliau tegaskan agensi itu sentiasa komited dalam memastikan pintu masuk negara berada dalam kawalan terbaik serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.