PUTRAJAYA, 25 Oktober - Gangguan operasi perkhidmatan tren MRT di Laluan Putrajaya pagi tadi disyaki berpunca daripada kejadian kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan yang berlaku berhampiran Stesen Kuchai.
Dalam satu kenyataan, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan hasil siasatan awal mendapati longgokan kabel yang telah dipotong ditemui berdekatan stesen tersebut.
Ia dipercayai menjadi punca utama gangguan sistem semboyan di laluan berkenaan.
Rapid Rail sedang bekerjasama dengan MRT Corporation dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan menyeluruh untuk membendung kegiatan kecurian kabel yang dilaporkan semakin kerap berlaku di beberapa jajaran Laluan Putrajaya.
Manakala pasukan teknikal Rapid Rail bersama pakar sistem asal(OEM) kini giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta pemulihan bagi menstabilkan semula operasi tren dalam masa terdekat.
Ketika ini, tren di antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral dipandu secara manual sebagai langkah keselamatan, menyebabkan pergerakan tren menjadi perlahan dan tempoh menunggu di setiap stesen lebih lama.
Kekerapan tren dijangka antara 20 hingga 30 minit.
Bagi membantu penumpang, Rapid Rail turut menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma bagi menghubungkan perjalanan antara kedua-dua stesen tersebut.