Kajian semula gaji minimum selesai September ini

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan bergambar bersama selepas Sesi Libat Urus Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 April – Kajian semula kadar gaji minimum dijangka selesai pada September depan, sebelum keputusan dibuat sama ada kadar sedia ada akan disemak semula atau dikekalkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian dibuat berdasarkan hasil kajian menyeluruh oleh Kementerian Sumber Manusia.
  • Pelbagai sesi libat urus diadakan untuk mengambil kira kepentingan pekerja, majikan dan keseluruhan ekosistem pekerjaan.
  • Kerajaan menegaskan tidak akan membuat keputusan yang menjejaskan pembangunan ekosistem pekerjaan dan akan memastikan kebajikan semua pihak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata ia dibuat berdasarkan hasil kajian menyeluruh yang sedang dilaksanakan kementerian.

Menurut beliau, pelbagai sesi libat urus diadakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pekerja, majikan dan keseluruhan ekosistem pekerjaan negara.

“Seperti yang telah saya sampaikan tadi, kajian kita akan selesai pada September 2026. Hasil daripada kajian ini, barulah kita boleh tentukan sama ada kadar gaji minimum itu akan disemak semula ataupun tidak.

“Kedua, kita tidak perlu bimbang memandangkan kita mempunyai pakar. Dan daripada pihak kerajaan juga yang selama ini melakukan pelbagai sesi libat urus untuk kita memastikan setiap keputusan dan juga pelaksanaan yang mahu dilakukan benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak”, katanya.

Jelasnya, kerajaan tidak akan sesekali membuat keputusan yang boleh menjejaskan pembangunan ekosistem pekerjaan, sebaliknya akan terus memastikan kebajikan semua pihak kekal terpelihara.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) di sini.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa kajian semula Perintah Gaji Minimum 2024 telah bermula sejak Januari lalu.