Rakyat diseru bersolidariti, doakan kelancaran misi GSF 2.0

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 April – Rakyat di negara ini diseru agar turut sama bersolidariti serta mendoakan pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berjalan lancar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Misi GSF 2.0 bersifat universal, disertai peserta dari seluruh dunia termasuk wakil Malaysia.
  • Beliau mengajak rakyat memberi fokus dan sokongan kepada usaha solidariti antarabangsa.
  • Misi bermula dari Pelabuhan Barcelona ke Gaza pada 12 April melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 individu.
  • Tujuan utama ialah memecahkan kepungan laut Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang meruncing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata tujuan misi peringkat global itu yang turut melibatkan wakil Malaysia seharusnya menjadi fokus dan disokong oleh rakyat.

“Misi kali ini merupakan satu usaha yang bersifat universal, disertai oleh ramai peserta dari seluruh dunia. Kita amat bersyukur kerana terdapat rakyat Malaysia yang turut terlibat.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberikan fokus kepada usaha solidariti ini. Ketika ini mereka sedang melaksanakan misi tersebut dan kita mendoakan agar perjalanan mereka pergi dan pulang sentiasa dipelihara serta selamat. Semoga misi ini berjaya…kita doakan”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri 2026 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Putrajaya.

Misi GSF 2.0 telah memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona ke Gaza pada 12 April lalu melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 individu dari seluruh dunia.

Misi pelayaran itu bertujuan memecahkan kepungan laut Gaza melalui gerakan solidariti antarabangsa sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.