
REMBAU, 14 April – Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) mempertimbang semula tindakan menyekat Selat Hormuz yang berpotensi menjejaskan bekalan tenaga serta kestabilan ekonomi global.
- Sekatan menghalang pergerakan kapal dagang, menjejaskan bekalan tenaga dunia dan bahan penting termasuk baja urea.
- Tindakan itu bercanggah dengan pendirian sebelum ini; Malaysia menggesa AS menilai semula dan mengutamakan rundingan bagi memastikan laluan perdagangan terbuka.
- Semua kapal di Selat Hormuz tidak boleh bergerak, termasuk enam kapal Malaysia yang terkandas; Malaysia minta UN pertimbang pemendekan mandat pasukan pengaman Lubnan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekatan itu boleh menghalang pergerakan kapal dagang dan kargo, sekali gus memberi kesan besar kepada bekalan tenaga dunia serta bahan penting termasuk baja urea.
Beliau berkata tindakan tersebut juga dilihat bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini, yang menggesa kerjasama antarabangsa bagi memastikan laluan strategik itu kekal terbuka.
“Tujuannya saya tak tahu kerana sepatutnya Selat Hormuz ini tidak dikepung. Sebelum ini Iran telah bersetuju untuk membuka selat itu dengan syarat 10 perkara yang diajukan semasa rundingan di Islamabad dipersetujui AS.
“Sekatan ini akan memburukkan lagi keadaan bekalan tenaga dunia, sekali gus menjejaskan ekonomi dan sektor pertanian global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Peringkat Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk Iran agar memastikan laluan perdagangan di selat berkenaan terus dibuka demi kepentingan masyarakat antarabangsa.
Menurutnya, konflik antara negara tidak seharusnya menjadikan ekonomi dunia sebagai tebusan.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ketika ini semua kapal yang berada di Selat Hormuz tidak boleh bergerak melalui selat itu termasuk enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas.
Tambah beliau, AS perlu menilai semula tindakan tersebut dan mengutamakan rundingan bagi memastikan laluan perdagangan kekal terbuka.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamad memaklumkan telah meminta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York untuk berunding dengan semua negara yang menggangotai pasukan pengaman di Lubnan supaya mempertimbang untuk memendekkan tempoh mandat pasukan pengaman tersebut.
Langkah itu wajar memandangkan situasi semasa di Lubnan yang kini berada dalam keadaan konflik, sekali gus menjadikan peranan pasukan pengaman kurang relevan berbanding ketika misi itu diwujudkan.