
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyifatkan inisiatif Geran Startup Accelerator (Uyarvu MADANI) sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem keusahawanan komuniti India.
- Uyarvu MADANI menyediakan modal permulaan, sokongan teknikal, akses rangkaian komersial dan mentor industri.
- Bantuan geran disalurkan secara berfasa kepada usahawan India kategori B40 dan M40 memastikan manfaat disasarkan.
- Pendekatan berfasa disertai pemantauan dan penilaian untuk memastikan penggunaan dana berkesan, telus dan mencapai matlamat.
- MAICCI komited bekerjasama dengan kementerian, MITRA dan dewan perniagaan untuk memaksimumkan impak program keusahawanan komuniti India.
Presiden MAICCI, Datuk Seri N Gobalakrishnan berkata, inisiatif baharu di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu menyediakan modal permulaan, sokongan teknikal dan akses kepada rangkaian komersial serta mentor industri.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaksanaan Uyarvu MADANI yang menawarkan bantuan geran secara berfasa kepada usahawan India kategori B40 dan M40, selaras usaha kerajaan memperkasa sosioekonomi masyarakat India.
“MAICCI akan membantu memastikan geran Uyarvu MADANI disalurkan kepada pemilik perniagaan yang berkelayakan kategori B40 dan M40 supaya mereka benar-benar mendapat manfaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan bantuan secara berfasa yang disertai pemantauan dan penilaian prestasi dapat memastikan penggunaan dana lebih berkesan, telus serta mencapai matlamat ditetapkan.
Pada masa sama, beliau turut menghargai usaha Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dalam mengukuhkan kerjasama antara kementerian, MITRA dan sektor perniagaan bagi memastikan pelaksanaan program yang berimpak.
“MAICCI turut menyambut baik inisiatif MITRA melibatkan pendidikan, pembangunan modal insan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan komuniti yang dijangka memberi manfaat kepada puluhan ribu masyarakat India di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, MAICCI komited bekerjasama dengan dewan-dewan perniagaan dan pihak berkepentingan bagi memaksimumkan impak program berkenaan kepada komuniti usahawan India.
Sebelum ini, lebih 50,000 masyarakat India khususnya golongan B40 dan M40 bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan enam inisiatif baharu di bawah MITRA tahun ini, melibatkan peruntukan keseluruhan RM65.5 juta.
Datuk Seri R. Ramanan memaklumkan, inisiatif Fasa 1 itu memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan komuniti, kesihatan dan bantuan sosial bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini.