Cukai karbon berpotensi jadi sumber hasil baharu negara – CTIM

RTM

KUALA LUMPUR, 31 Mei- Pelaksanaan cukai karbon di Malaysia dilihat berpotensi menjadi sumber hasil baharu kepada kerajaan, selain berperanan mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan di peringkat awal, kini melibatkan beberapa industri terpilih termasuk besi dan keluli.
  • Cukai bertujuan galakkan pematuhan had pelepasan dan menjadi insentif bagi perubahan tingkah laku industri.
  • Pelaksanaan perlu ambil kira kos operasi serta faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus untuk elak membebankan industri.

Ahli Majlis Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Harvindar Singh Chanan Singh berkata mekanisme itu masih di peringkat awal pelaksanaan dan setakat ini hanya melibatkan beberapa industri terpilih termasuk besi dan keluli.

Beliau berkata, cukai karbon pada asasnya bertujuan menggalakkan pematuhan terhadap had pelepasan karbon, selain bertindak sebagai insentif kepada perubahan tingkah laku industri.

“Dan idea pelaksanaan cukai ini ialah untuk mengurangkan karbon dan pada masa sama menjadi mekanisme kawalan kepada pelepasan yang ditetapkan,” katanya kepada RTM.

Menurutnya, kutipan daripada cukai berkenaan juga boleh menjadi sumber tambahan kepada kerajaan serta merangsang pembangunan industri baharu.

“Daripada kutipan cukai ini, ia boleh menjadi satu lagi saluran hasil kepada kerajaan dan membuka ruang kepada industri baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata impak sebenar cukai karbon terhadap ekonomi negara masih belum dapat dipastikan pada peringkat ini.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan cukai itu perlu mengambil kira faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai asas utama dasar.

Dalam pada itu, Harvindar berkata kerajaan perlu mengambil kira peningkatan kos operasi industri sebelum melaksanakan cukai berkenaan secara meluas.

“Kerajaan sedar kos bahan mentah dan operasi kini meningkat. Justeru pelaksanaannya perlu dibuat secara seimbang supaya tidak membebankan industri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.