Belanjawan 2027: Sektor pengguna dijangka terima manfaat utama – Rakuten Trade

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Sektor pengguna dijangka menjadi penerima manfaat utama Belanjawan 2027, didorong pelarasan pelepasan cukai pendapatan individu yang berpotensi meningkatkan kuasa perbelanjaan golongan berpendapatan sederhana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000; kadar cukai turun satu mata peratus untuk julat RM70,001–RM150,000.
  • Langkah percukaian boleh memberi tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
  • Gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027; PMKS dengan jualan tahunan bawah RM50 juta dikecualikan.
  • Pembeli rumah pertama mendapat pengecualian duti setem penuh hingga RM500,000; separa bagi harga RM500k–RM750k, sah 1 Jan 2027–31 Dis 2030.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata, gabungan langkah percukaian yang diumumkan kerajaan mampu memberikan tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

“Belanjawan itu menaikkan had pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi julat pendapatan bercukai RM70,001 hingga RM100,000 dan RM100,001 hingga RM150,000.

“Gaji minimum turut dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan itu,” katanya dalam kenyataan sama.

Tambahnya, pelarasan cukai yang dinantikan lebih 10 tahun itu turut berpotensi meningkatkan sentimen positif dalam pasaran.

Bagi sektor pembinaan, Rakuten Trade menyifatkan 2027 sebagai tahun pelaksanaan, dengan peruntukan pembangunan RM83 bilion dijangka menyokong kesinambungan projek sedia ada, meskipun tiada projek infrastruktur mega baharu diumumkan.

Sabah dan Sarawak pula akan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM34.9 bilion.

“Dalam sektor hartanah, pembeli rumah pertama yang layak akan menikmati pengecualian penuh duti setem bagi rumah berharga sehingga RM500,000.

“Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan bagi RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus,” katanya.

Menurut beliau, insentif itu terpakai bagi perjanjian yang memenuhi syarat dan ditandatangani antara 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Insentif berkenaan dijangka menyokong permintaan dalam segmen hartanah pasaran massa, sekali gus memberi manfaat kepada pemaju yang mempunyai pendedahan dalam segmen itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.