
BANGKOK, 14 Oktober – Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, pada Rabu berkata serangan terbaharu ke atas Arab Saudi berpotensi memberi kesan kepada penduduk “di mana-mana sahaja”, ketika konflik di rantau kaya sumber tenaga itu menambah kebimbangan terhadap ekonomi global.
- Serangan Houthi terhadap infrastruktur, termasuk Lapangan Terbang Riyadh, ganggu operasi dan keselamatan awam.
- Ketegangan Asia Barat mendorong kenaikan harga minyak mentah, meningkatkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi global.
- IMF menggesa pembaikan fiskal segera: tambah hasil kerajaan, rasionalisasikan perbelanjaan, perkemas pengurusan kewangan awam.
- Kenaikan kadar faedah menaikkan kos khidmat hutang, membebankan negara berpendapatan rendah; sokongan antarabangsa diperlukan.
Pertempuran sengit antara gabungan pimpinan Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yaman tercetus sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan serangan peluru berpandu menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan tenaga di seluruh Arab Saudi.
Gelombang pertempuran terbaharu itu tercetus susulan serangan Houthi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh pada hujung minggu lalu, yang mengorbankan 13 orang dan menyebabkan operasi lapangan terbang digantung.
Serangan itu merupakan yang paling buruk sejak 2015.
Ketegangan yang semakin memuncak menambah kebimbangan terhadap kesan krisis Asia Barat ke atas pertumbuhan ekonomi global, ketika harga minyak mentah melonjak selepas Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz yang strategik susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada Februari lalu.
“Ekonomi Arab Saudi penting bagi rantau ini dan dunia,” kata Georgieva pada sidang media sempena Mesyuarat Tahunan IMF dan Bank Dunia di Bangkok.
“Dalam konteks itu, perkembangan ini berpotensi membawa kesan limpahan negatif kepada semua orang, di mana-mana sahaja,” katanya lagi.
Amaran itu dikeluarkan ketika pegawai dan pakar berkumpul di ibu negara Thailand bagi membincangkan cabaran ekonomi global, termasuk peningkatan kos tenaga dan kebimbangan terhadap kemampanan ledakan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI).
Cabaran lain termasuk peningkatan hutang yang mendadak dalam ekonomi maju, dengan hasil bon mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad ketika tekanan semakin meningkat terhadap bank pusat untuk menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi.
“Apakah seruan paling lantang kita kepada penggubal dasar ketika ini? Lakukan pembaikan segera terhadap kedudukan fiskal sebelum masalah menjadi semakin serius,” kata Georgieva.
“Inilah masanya untuk meningkatkan hasil kerajaan, merasionalisasikan perbelanjaan dan menambah baik pengurusan kewangan awam.”
Ekonomi global semakin menghampiri had ketahanan Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang dinanti-nantikan dan diterbitkan pada Selasa, IMF menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2026 sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.1 peratus.

Bagaimanapun, IMF memberi amaran bahawa meskipun pelaburan AI mencetuskan aktiviti ekonomi baharu, negara-negara miskin tidak menikmati manfaat yang sama kerana berdepan peningkatan kos tenaga.
Ekonomi global “kekal berdaya tahan dalam menghadapi kejutan yang sangat kerap dan berulang serta ketidaktentuan”, kata Georgieva.
“Namun, daya tahan ini semakin menghampiri hadnya.”
Ketua IMF itu menggesa sokongan lebih besar diberikan kepada negara berpendapatan rendah bagi “memperkukuh asas ekonomi mereka supaya mampu menghadapi kejutan”.
Beliau berkata kenaikan kadar faedah global turut menyebabkan kos khidmat hutang meningkat daripada kira-kira enam peratus hasil kerajaan sedekad lalu kepada 14 peratus ketika ini.
Dalam Agenda Dasar Global yang diterbitkan pada Rabu, IMF turut memberi amaran bahawa cabaran pembayaran khidmat hutang menjadi semakin serius bagi “ekonomi berpendapatan rendah dan terdedah kepada risiko”.
Georgieva berkata IMF telah berulang kali memberi amaran mengenai ketidakseimbangan ekonomi global yang semakin ketara.
“Secara ringkasnya, China perlu meningkatkan perbelanjaan, AS perlu meningkatkan simpanan dan Eropah perlu menambah pelaburan,” katanya.
Ekonomi maju menyaksikan nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) melonjak sejak pandemik COVID-19 serta peperangan di Ukraine dan Asia Barat, apabila kerajaan terpaksa meningkatkan perbelanjaan bagi mengurangkan kesan kejutan berkenaan.
Di China, kemerosotan berpanjangan permintaan domestik berlaku serentak dengan lonjakan eksport ke paras bersejarah, sekali gus meningkatkan lebihan dagangan yang semakin menimbulkan masalah politik dengan rakan dagang negara itu.
Mengulas langkah menangani kenaikan mendadak hasil bon, Georgieva mengakui bahawa “tiada jalan pintas”.
“Anda perlu mengambil langkah untuk mengetatkan pengurusan hutang dan mengurangkannya.
“Mesej yang kami sampaikan kepada negara anggota ialah asas ekonomi amat penting. Uruskan kewangan negara dengan baik; jika tidak, rakyat dan perniagaan anda akan menanggung akibatnya,” katanya. – AFP