Reformasi perkhidmatan parlimen perkukuh profesionalisme, mutu perbahasan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Reformasi perkhidmatan Parlimen perlu diterjemahkan kepada peningkatan profesionalisme kakitangan serta mutu perbahasan, selaras usaha memperkukuh kebebasan dan kewibawaan institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyerahkan sebahagian kuasa pentadbiran kepada Parlimen untuk mematangkan demokrasi berparlimen negara.
  • Kejayaan reform bergantung kepada kewibawaan speaker serta kesediaan ahli parlimen dan jawatankuasa menjayakan proses demokrasi.
  • Akta Perkhidmatan Parlimen penting kerana memaknai erti demokrasi dan menunjukkan kematangan sistem institusi.
  • Penggunaan kuasa institusi Parlimen mesti berpandukan prinsip demokrasi tanpa menjejaskan fungsi dan kewibawaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan berkenaan mencerminkan kesediaan kerajaan menyerahkan sebahagian kuasa pentadbiran yang sebelum ini berada di bawah kerajaan, demi mematangkan demokrasi berparlimen negara.

“Kejayaannya itu tentunya terletak kepada kewibawaan kedua-dua speaker, kesediaan ahli-ahli yang saya bacakan tadi, Bukit Gelugor, Simpang Renggam, Beluran dan Kota Bharu, bersama dengan ahli jawatankuasa dan ahli-ahli parlimen yang berhasrat untuk menjayakan dan mematangkan proses demokrasi sepertimana yang diidamkan.

“Saya beritahu ini satu proses perjalanan demokrasi berparlimen di Malaysia selama puluhan tahun”, katanya.

Beliau berkata pengukuhan autonomi perkhidmatan parlimen juga diharap dapat meningkatkan keupayaan institusi itu membangunkan kepakaran kakitangannya sendiri, sekali gus mempertingkat profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Jadi, sebab itu saya melihat perubahan ini, Akta Perkhidmatan Parlimen ini penting kerana ia, saya tegaskan memaknai erti demokrasi dalam parlimen dan kematangan sistem demokrasi.

“Demokrasi itu tentunya satu perjalanan yang panjang, satu proses yang menjamin kejayaannya adalah kesediaan kepimpinan untuk melakar prakarsa reform dan ahli parlimen yang menyambut secara positif.

“Tentunya diharapkan dengan kebebasan dan bidang kuasa parlimen untuk mengangkat keupayaan stafnya sendiri dan tahap profesionalismenya.

“Kita juga mengharapkan suatu pengangkatan dan peningkatan mutu perbahasan dan juga adab dalam perbahasan sesuai dengan bidang kuasa yang baharu. Ini tentunya memerlukan kerjasama front bench dan juga back benches dan pembangkang.

Datuk Seri Anwar berkata, penggunaan kuasa dalam institusi parlimen juga perlu berpandukan prinsip demokrasi, tanpa menjejaskan fungsi serta kewibawaan institusi berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.