
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan konsisten, bukan sekadar lafaz ikrar, bagi memastikan usaha memerangi rasuah menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
- Ikrar Bebas Rasuah PNB Merdeka Ventures mesti disusuli tindakan berdisiplin untuk mewujudkan persekitaran kerja bersih, telus dan beretika
- Pengibaran bendera SPRM di puncak Menara Merdeka 118 simbolik tekad memperkukuh agenda antirasuah dan integriti
- Kerjasama strategik bersama PNB Merdeka Ventures dan hampir 20 agensi meluaskan mesej antirasuah melalui pendekatan mesra masyarakat
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, perubahan ke arah budaya bebas rasuah bermula dengan kejujuran dan ketegasan setiap individu, termasuk menolak suapan serta berani melaporkan salah laku.
“Ikrar Bebas Rasuah yang dilaksanakan PNB Merdeka Ventures perlu disusuli tindakan berdisiplin bagi membentuk persekitaran kerja yang bersih, telus dan beretika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Langkah Merdeka 118, Bersama Perangi Rasuah sempena Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-59 peringkat Kuala Lumpur di Stadium Merdeka, hari ini.
Program itu turut menyaksikan kejayaan membawa dan mengibarkan bendera SPRM di puncak Menara Merdeka 118, sebagai simbol tekad memperkukuh agenda antirasuah dan integriti.
Selain Larian Menara yang melibatkan pelbagai agensi, program berkenaan turut menampilkan pameran integriti membabitkan hampir 20 agensi kerajaan dan swasta.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, kerjasama strategik bersama PNB Merdeka Ventures penting bagi memperluas mesej antirasuah melalui pendekatan mesra masyarakat.
Inisiatif itu menegaskan bahawa perjuangan membanteras rasuah memerlukan komitmen berterusan semua pihak demi memelihara kepercayaan serta kepentingan organisasi dan negara.