
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Belanjawan 2027 mencerminkan perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan mahasiswa, termasuk melalui peruntukan RM20 juta bagi program Dapur Siswa MADANI.
- Pengembangan program Dapur Siswa MADANI ke politeknik dan IPG memberi bantuan makanan kepada lebih ramai pelajar.
- Peruntukan kepada KPT menyokong penyelidikan, pembangunan akademik dan kebajikan mahasiswa sebagai pelaburan untuk masa depan negara.
- Belanjawan mengambil kira keperluan kolej kediaman, pendedahan industri dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.
Program itu turut diperluas kepada politeknik dan institut pendidikan guru (IPG), sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar menikmati manfaatnya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai berita baik kepada mahasiswa.
“Saya fikir ini satu inisiatif yang sangat baik, satu khabar baik untuk pelajar-pelajar. Jadi saya harap pelajar-pelajar yang akan menikmati faedah daripada pelaksanaan Dapur Siswa MADANI.
“Ia boleh memanfaatkan peluang yang ada dan boleh belajar bersungguh-sungguh, tak perlu lagi fikir soal makan dan sebagainya kerana semuanya telah disediakan dengan baik,” katanya.
Menurut Profesor Dr. Mohd Izani, peruntukan kepada KPT turut menyokong penyelidikan, pembangunan akademik dan kebajikan mahasiswa, sekali gus menjadi pelaburan bagi pembangunan masa depan negara.
Sementara itu, MPP Interim Universiti Utara Malaysia (UUM), Khairunniesa Alwani Fairuz Abadi, menyifatkan peluasan Dapur Siswa Madani amat bermakna terutama bagi mahasiswa yang kurang berkemampuan.
“Memang terdapat pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpaksa menahan lapar atau hanya makan mi segera kerana kekurangan wang.
“Program seumpama ini telah diperkenalkan di universiti awam dan menerusi Belanjawan 2027, saya melihat program ini akan diperluas ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya lebih ramai pelajar dapat menikmati bantuan makanan dan tidak perlu lagi berdepan masalah kelaparan,” katanya.
Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Wan Darwisy Khazin Wan Ahmad Rosddy, Belanjawan 2027 turut mengambil kira keperluan mahasiswa dari segi kemudahan kolej kediaman, akademik, pendedahan industri serta pembangunan kepimpinan.
“Kita dapat lihat pendidikan merupakan antara perkara utama yang diberi penekanan dalam Belanjawan 2027. Beberapa perkara yang dibangkitkan oleh mahasiswa turut didengari kerajaan.
“Manakala peruntukan yang diberikan dapat membantu pembangunan serta mencungkil bakat mahasiswa, khususnya dalam aspek kepimpinan dan kebajikan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil pelajar UMCCED, Mohammad Ajmal Mohammad Nazif, melihat tumpuan terhadap pembangunan belia sebagai peluang untuk mahasiswa melaksanakan aktiviti kepimpinan dan program kemasyarakatan.
“Walaupun kerajaan memberikan pelbagai pendekatan dan kelebihan kepada anak muda, segala bantuan yang diberikan itu akan turut memberi impak kepada masyarakat.
“Manfaatnya bukan hanya kepada pihak tertentu, tetapi juga kepada golongan belia untuk membangunkan diri dan seterusnya berbakti semula kepada masyarakat,” katanya.