Kelayakan Piala Asia 2027: Skuad B-16 mulakan persiapan

Foto FB Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Seramai 30 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2027 bagi saingan Kumpulan E bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kem latihan fasa pertama di AMD Gambang dari 11 hingga 23 Okt; fasa kedua 26 Okt hingga 5 Nov untuk memuktamadkan barisan akhir.
  • Malaysia tuan rumah Kumpulan E, perlawanan berlangsung di Stadium MPS Selayang dari 8 hingga 20 November.
  • Pembukaan menentang Palestin 8 Nov; turut berdepan Singapura, Guam dan India, semua perlawanan bermula jam 9 malam.
  • Hanya tujuh juara kumpulan A hingga G layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan.

Ketua jurulatihnya, Shukor Adan berkata kem latihan fasa pertama berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang dari 11 hingga 23 Oktober ini, sebelum diteruskan dengan fasa kedua dari 26 Oktober hingga 5 November bagi memuktamadkan senarai akhir pemain.

Malaysia akan menjadi tuan rumah saingan Kumpulan E yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dari 8 hingga 20 November ini.

Skuad negara akan membuka kempen menentang Palestin pada 8 November, sebelum berdepan Singapura (14 November), Guam (17 November) dan India (20 November). Semua perlawanan membabitkan Malaysia dijadual bermula pada 9 malam.

Cabaran itu penting buat skuad kendalian Shukor memandangkan hanya tujuh juara kumpulan daripada Kumpulan A hingga G akan layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan pada Mei tahun depan.

Sembilan pasukan telah mengesahkan tempat secara automatik, terdiri daripada Uzbekistan selaku tuan rumah kejohanan, Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia B-17 serta tujuh pasukan terbaik edisi 2026, iaitu Jepun, China, Australia, Republik Korea, Arab Saudi, Tajikistan dan Vietnam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.