Aksi persahabatan : AS dan Sepanyol terikat 2-2

Foto AFP

PHILADELPHIA, 14 Oktober – Amerika Syarikat (AS) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat juara dunia, Sepanyol 2-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa bola sepak wanita di Subaru Park, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Putellas dan Paralluelo meletakkan Sepanyol di hadapan dengan dua jaringan awal.
  • Ashley Sanchez dan Mallory Swanson masing-masing merapatkan jurang dan menyamakan kedudukan pada babak kedua.
  • Keputusan itu memberi suntikan semangat kepada AS menjelang suku akhir Concacaf; Sepanyol terlepas peluang kemenangan kelima berturut-turut.

Alexia Putellas dan Salma Paralluelo meletakkan Sepanyol di hadapan menerusi dua jaringan dalam tempoh lima minit pada babak pertama sebelum Ashley Sanchez merapatkan jurang pada minit ke-49.

Mallory Swanson kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-86 untuk memastikan AS mengelak kekalahan kedua berturut-turut kepada Sepanyol selepas tewas 0-2 dalam pertemuan di Washington pada Sabtu.

AS hampir melengkapkan kebangkitan pada masa kecederaan, namun penjaga gol Sepanyol, Misa Rodriguez, menafikan percubaan Lily Yohannes menerusi aksi penyelamatan cemerlang.

Keputusan itu menjadi suntikan semangat buat AS menjelang aksi suku akhir Concacaf menentang El Salvador bulan depan, dengan kemenangan membolehkan mereka mengesahkan tempat ke Piala Dunia Wanita tahun depan di Brazil.

Sepanyol yang sudah mengesahkan kelayakan ke kejohanan itu pula terlepas peluang mencatat kemenangan kelima berturut-turut sejak tewas kepada England pada April lalu.

Pada perlawanan berkenaan, Putellas membuka jaringan menerusi penyudah jarak dekat hasil gerakan Clara Serrajordi dan Clara Pinedo sebelum Paralluelo menggandakan kelebihan lima minit kemudian menerusi rembatan yang terkena palang susulan kesilapan penjaga gol AS, Phallon Tullis-Joyce.

Bagaimanapun, AS bangkit pada babak kedua apabila Sanchez menyudahkan peluang pada minit ke-49 sebelum Swanson menyempurnakan hantaran jauh Kate Del Fava untuk gol penyamaan empat minit sebelum tamat permainan. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.