
PUTRAJAYA, 14 April – Kerajaan akan mempercepat penggunaan biodiesel sebagai langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil import dalam menghadapi krisis tenaga global yang berpanjangan.
- Biodiesel boleh terus digunakan dalam sistem diesel sedia ada untuk sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perkhidmatan tanpa perlu ekosistem baharu.
- Pengeluaran 2025 menunjukkan asas industri dan kapasiti sedia ada perlu diperkukuh secara tersusun bagi manfaat negara.
- Kerajaan tingkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 ke B15 secara berperingkat bermula B12 tanpa kos tambahan menggunakan infrastruktur sedia ada.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah ini penting bagi memastikan bekalan tenaga lebih terjamin di peringkat domestik, di samping mengurangkan pendedahan negara terhadap ketidaktentuan pasaran global.
Menurut beliau, biodiesel dikenal pasti sebagai antara sumber tenaga alternatif paling praktikal dan sedia digunakan dalam tempoh terdekat.
Ia boleh terus digunakan dalam sistem diesel sedia ada, khususnya bagi sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perkhidmatan, tanpa perlu menunggu pembangunan ekosistem baharu.
Pendekatan itu selari dengan usaha penstrukturan semula ekonomi ke arah sistem tenaga yang lebih berdaya tahan dan berasaskan sumber domestik.
“Pada tahun 2025, pengeluaran biodiesel Malaysia berjumlah 975,207 tan metrik, sedangkan kapasiti pengeluaran mencecah 2.36 juta tan metrik. Ini menunjukkan bahawa asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran telah pun tersedia dan hanya perlu diperkukuh secara tersusun bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada negara,” katanya dalam Taklimat Harian Krisis Tenaga Global.
Berikutan itu, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 secara berperingkat bermula dengan B12, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan kerana menggunakan infrastruktur sedia ada.
Langkah ini dijangka membantu memanjangkan ketersediaan bekalan diesel negara, selain mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran global.
Memandangkan krisis semasa dijangka berlarutan sehingga 18 bulan, kerajaan akan terus mempercepat reformasi tenaga sebagai keperluan strategik negara.