
PUTRAJAYA, 14 April – Sumbangan Aidilfitri Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) tahun ini mencecah RM3.1 juta yang memanfaatkan 29,100 penerima di 192 lokasi seluruh negara.
- Dr Zulkifli Hasan menyeru umat Islam terus menyokong YAPEIM dengan sasaran kutipan lebih tinggi tahun ini.
- Dalam aspek sosial dan kebajikan, sasaran ditetapkan sebanyak RM70 juta.
- 300 pelajar dan 100 ketua isi rumah menerima RM100 tunai serta bakul makanan, dibiayai syarikat korporat kewangan.
- YAPEIM lancar kempen 'Keep Malaysia Clean' untuk tingkatkan kesedaran terhadap budaya bersih, anti rasuah, integriti dan keharmonian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyeru umat Islam di negara ini terus menyokong YAPEIM untuk pembangunan ummah dengan meletakkan sasaran kutipan yang lebih tinggi pada tahun ini.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik bukan sahaja pada Ramadan, malah pada Aidilfitri. Pada masa sama, hari ini kita juga menerima sokongan daripada beberapa syarikat korporat.
“Bagi aspek sosial dan kebajikan, sasaran yang ditetapkan adalah sebanyak RM70 juta”, katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri YAPEIM 2026 di Putrajaya.
Dalam majlis itu, 300 pelajar dan 100 ketua isi rumah menerima bantuan tunai RM100 serta bakul makanan. Bantuan itu juga merupakan dana daripada syarikat-syarikat korporat dari sektor kewangan.
Turut dilancarkan, kempen ‘Keep Malaysia Clean’ iaitu YAPEIM sebagai perintis mewakili agensi agama untuk meningkatkan kesedaran warga kerja dan masyarakat terhadap budaya bersih daripada rasuah, integriti dan harmoni.