
BUKIT MERTAJAM, 3 Oktober – Usahawan masyarakat India boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM30,000 pada kadar keuntungan tiga peratus setahun bagi tempoh sehingga 12 bulan menerusi Skim Berkat Deepavali.
- Permohonan dibuka sehingga 8 November melalui Sistem Permohonan TEKUN Online atau pejabat cawangan TEKUN Nasional.
- Kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta sebagai modal pusingan untuk usahawan menjelang sambutan Deepavali.
- Skim terbuka kepada warganegara Malaysia masyarakat India berumur 18 hingga 65 tahun; usahawan TEKUN sedia ada boleh memohon.
- Keputusan permohonan bawah RM100,000 disasarkan dalam tujuh hari; agensi diminta mempercepat dan memudahkan proses.
Permohonan dibuka mulai hari ini hingga 8 November menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online atau pejabat cawangan TEKUN Nasional di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta bagi skim berkenaan sebagai modal pusingan kepada usahawan menjelang sambutan Deepavali.
“Deepavali tinggal kira-kira sebulan lagi. Jadi, kita harap usahawan di bazar Deepavali dan Little India dapat memanfaatkan peruntukan ini.
“Ia melibatkan peniaga makanan, pakaian, barangan perhiasan dan perniagaan lain berkaitan sambutan Deepavali,” katanya kepada pemberita pada Program MADANI Kita (PMK) Bukit Mertajam di Pusat Perniagaan Santuari, di sini.
Skim berkenaan terbuka kepada warganegara Malaysia daripada masyarakat India berusia 18 hingga 65 tahun, manakala usahawan TEKUN sedia ada turut boleh memohon dengan syarat jumlah keseluruhan pembiayaan diterima tidak melebihi RM100,000.
Steven berkata, keputusan bagi permohonan pembiayaan di bawah RM100,000 disasarkan dalam tempoh tujuh hari, selain agensi berkaitan diminta mempercepat dan memudah cara proses permohonan.
Sebelum ini, menerusi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) Aidilfitri, TEKUN Nasional menyalurkan RM35 juta kepada 5,590 usahawan, melebihi peruntukan awal RM30 juta.