LTdL 2026: Izzat Hilmi tidak puas hati, tekad buru podium di Putrajaya

Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil/Foto fail MSN

BATU PAHAT, 3 Oktober – Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil yang tidak berpuas hati dengan pencapaiannya di laman sendiri hari ini, bertekad memburu kedudukan podium pada Peringkat Kelapan Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menamatkan Peringkat Tujuh di tempat ke-16, dinobatkan pelumba tempatan terbaik.
  • Mengubah strategi mengejar kedudukan terbaik dalam kategori pelumba Asia selepas jurang masa sukar dirapatkan.
  • Rentak perlumbaan pantas, empat pelumba breakaway mengekalkan momentum; Hijiri Oda memintasnya 50 meter sebelum garisan.
  • Peringkat Kelapan penutup 188.3 km Muar ke Putrajaya, tiga zon pecutan pertengahan dan satu zon pendakian di Bukit Mantin.

Beliau terlepas peluang keemasan menaiki pentas kemenangan di hadapan penyokong sendiri selepas menamatkan saingan Peringkat Tujuh dari Melaka ke Batu Pahat di tempat ke-16, walaupun dinobatkan sebagai pelumba tempatan terbaik.

Menurut anak jati Batu Pahat itu, beliau kemudiannya mengubah strategi untuk memberi tumpuan memburu kedudukan terbaik dalam kategori pelumba Asia sebaik menyedari jurang masa dengan kelompok hadapan sukar dirapatkan.

“Sejak awal perlumbaan lagi, tempo kayuhan amat pantas kerana berlaku beberapa siri pecahan pelumba. Kelompok empat pelumba breakaway hampir berjaya ditangkap peloton, namun mereka bijak mengekalkan momentum hingga ke penghujung perlumbaan.

“Saya cuba bersaing merebut kedudukan terbaik Asia dalam kelompok berkenaan, namun sedikit terhalang pada selekoh terakhir sebelum dipintas pelumba Jepun (Hijiri Oda) ketika perlumbaan berbaki 50 meter,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas mengenai misinya memburu kedudukan podium LTdL yang didambakan sejak edisi 2023, pelumba berusia 30 tahun itu tetap menaruh keyakinan tinggi bahawa sasaran berkenaan mampu direalisasikan pada peringkat penutup esok.

“Jika sebelum ini saya pernah menamatkan saingan di tempat keempat, tidak mustahil untuk saya melangkah ke kedudukan kedua atau ketiga. Perkara paling penting adalah tidak berputus asa dan berusaha sedaya upaya,” tegasnya.

Peringkat Kelapan LTdL 2026 esok adalah peringkat terakhir yang bakal merentasi laluan sejauh 188.3 kilometer (km) dari Muar menuju ke Putrajaya.

Perlumbaan penutup itu menjanjikan perebutan sengit menerusi tawaran tiga zon pecutan pertengahan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai, selain satu zon pendakian di Bukit Mantin.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Mohamad Izzat Hilmi di pentas jelajah berprestij itu adalah menduduki tempat keempat pada Peringkat Satu LTdL 2023 serta mengulangi kedudukan sama pada Peringkat Keenam edisi 2025. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.