
SUBANG, 3 Oktober – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia bagi lawatan khas bersempena Formula 1 Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia.
- Baginda disambut Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
- Baginda memeriksa kawalan kehormatan dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Wan Amirul Syafiq.
- Litar Antarabangsa Sepang dipilih sebagai tuan rumah sementara F1 GP Gulf Air Bahrain 2026.
- Perjanjian antara Formula 1, FIA dan kerajaan Malaysia serta Bahrain memastikan perlumbaan kembali selepas pembatalan awal musim.
Pesawat khas yang membawa baginda bersama delegasi Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah mendarat di Pangkalan Udara Subang pada pukul 4.28 petang.
Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan dibarisi dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, yang diketuai Kapten Wan Amirul Syafiq Wan Zamri.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij itu.
Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan yang berlangsung hingga esok, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum dugugurkan daripada kalendar F1.
Kembalinya perlumbaan berprestij ini ke Malaysia hasil usaha kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa.