
KUALA LUMPUR, 14 April – Pengumuman insentif oleh kerajaan bagi membantu pesawah, petani dan pekebun kecil disifatkan sebagai langkah signifikan dalam meringankan beban kos operasi susulan kenaikan harga bahan api.
- Kenaikan IPKP daripada RM160 kepada RM300 sehektar memberi kelegaan kepada pesawah yang memulakan musim penanaman.
- Bantuan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan, membantu lebih 200,000 petani dan pekebun kecil.
- Pelonggaran syarat permit khas pembelian diesel melebihi 20 liter untuk jentera pertanian memudahkan urusan di lapangan.
- Kerajaan akan terus memantau impak krisis tenaga dan mempertimbangkan langkah tambahan bagi memastikan keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar memberi kelegaan kepada pesawah yang bakal memulakan musim penanaman bulan ini.
Beliau berkata peningkatan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan turut membantu lebih 200,000 petani dan pekebun kecil yang berdepan peningkatan kos operasi.
“Pelonggaran syarat permit khas bagi pembelian diesel melebihi 20 liter untuk kegunaan jentera pertanian juga akan memudahkan urusan di lapangan.
“Langkah ini membuktikan kerajaan terus cakna terhadap kebajikan pesawah dan petani negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam taklimat krisis tenaga global mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar IPKP, BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu sebagai langkah segera menangani impak krisis tenaga global.
Datuk Seri Mohamad berkata, kerajaan akan terus memantau kesan krisis berkenaan terhadap sektor pertanian dan mempertimbangkan langkah tambahan bagi memastikan keterjaminan makanan negara kekal terpelihara.