Tiada pelanggaran SOP iring banduan

Jabatan Penjara komited terhadap prinsip ketelusan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan prosedur/Gambar hiasan RTM


KUALA LUMPUR, 14 April
– Tidak berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan kenderaan pengiringan banduan dalam satu operasi ke mahkamah pada 14 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Video tular mendakwa berlaku pelanggaran SOP semasa pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke mahkamah dan hospital.
  • Konvoi terdiri dua bas dan satu van pendahulu, bergerak teratur dengan lampu mata arah dan siren untuk keselamatan.
  • Satu bas alami kerosakan teknikal; pegawai putuskan konvoi utama diteruskan untuk mengekalkan jadual penghantaran banduan.
  • Jabatan Penjara komited kepada ketelusan, akan jalankan semakan dalaman dan menasihat orang ramai elak sebar spekulasi.

Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia menyebut, pihaknya mengambil maklum mengenai video tular yang mendakwa berlaku pelanggaran SOP melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah dan hospital di sekitar Lembah Klang.

“Konvoi tersebut terdiri daripada dua buah bas dan sebuah van yang bertindak sebagai kenderaan pendahulu.

“Sepanjang perjalanan, konvoi telah bergerak secara teratur dengan penggunaan lampu mata arah dan siren bagi tujuan keselamatan serta mematuhi prosedur pengiringan yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, kerosakan teknikal melibatkan salah sebuah bas dilaporkan berlaku sejurus selepas konvoi bergerak, menyebabkan kenderaan itu tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Keputusan diambil oleh pegawai bertugas untuk meneruskan pergerakan konvoi utama bagi memastikan penghantaran banduan ke mahkamah berjalan mengikut jadual serta tidak menjejaskan urusan perbicaraan.

“Setiap tindakan yang diambil oleh pegawai adalah berlandaskan pertimbangan keselamatan, keutamaan operasi serta situasi semasa di lapangan,” menurut kenyataan berkenaan.

Jabatan Penjara turut menegaskan komitmen terhadap prinsip ketelusan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan prosedur.

Sehubungan itu, semakan dalaman akan dilaksanakan bagi menilai keseluruhan operasi serta memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej dan integriti jabatan.